Selamat Datang ke Laman Rasmi ~ Bescomm Team
PERHATIAN : Kami akan merombak keseluruhan laman ini untuk disesuaikan dengan projek terbaru kami. Nantikan.

Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Maxis CyberlinQ kerana memilih kumpulan kami sebagai salah satu pasukan yang terpilih untuk ke peringkat Fasa Kedua dan bersetuju untuk menyumbangkan RM 1000 bagi memudahkan kami merealisasikan projek ini. Berkat sokongan dan doa kalian, kami akan berusaha untuk menjadikan projek ini satu realiti.

Sinopsis Projek

Kesinambungan kepada pertandingan Maxis CyberlinQ fasa pertama, pasukan Bescomm telah merencanakan projek "Inspirasiku"iaitu program lawatan sambil belajar ke Sabah. Kumpulan sasaran bagi projek ini adalah pelajar berbilang bangsa yang kurang berkemampuan ataupun anak-anak yatim dan cemerlang dalam peperiksaan percubaan UPSR. Namun, menyedari kumpulan sasaran kami terlalu kecil, bajet yang terlalu besar, serta pelbagai masalah yang timbul kami telah bersepakat untuk melaksanakan sebuah projek yang ternyata bakal membawa manfaat kepada komuniti di serata daerah, negeri dan negara kami. Maka tercetuslah projek Destinasiku. Projek ini merupakan rancangan untuk mendirikan sebuah peta daerah Dungun di Medan Selera, iaitu terletak di tengah-tengah Bandar Dungun. Peta ini akan memaparkan semua destinasi menarik di daerah Dungun. Bersempena dengan Tahun Melawat Terengganu 2008, kami yakin peta ini amat bermanfaat kerana ia dapat dijadikan rujukan oleh para pelancong tempatan mahupun luar negara. Pemilihan tempat yang strategik iaitu di Medan Selera pula bakal membantu kami mencapai matlamat memperkenalkan tempat-tempat menarik di Dungun dan tidak mustahil, mampu menjadikan Dungun sebagai tempat wajib di lawati dalam diari pelancongan semua pelancong.

Rasional

Bersempena sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia ke-50 dan Tahun Melawat Terengganu 2008, pasukan Bescomm telah merancang suatu projek yang dinamakan Destinasiku. Projek ini merupakan rancangan untuk mendirikan sebuah papan maklumat yang mengandungi peta daerah Dungun. Dengan papan maklumat ini, diharapkan dapat dijadikan rujukan dan memperkenalkan destinasi-destinasi menarik di daerah Dungun seterusnya merealisasikan matlamat Dungun sebagai destinasi utama bagi agenda pelancongan di Malaysia. Jelas, projek ini dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat, daerah, negeri dan negara.

Objektif

  • Memperkenalkan Dungun sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia.
  • Memudahkan pelancong dan perantau untuk mengenal destinasi-destinasi menarik di daerah ini.
  • Membantu kerajaan mempromosikan Dungun sempena Tahun Melawat Terengganu 2008.
  • Merapatkan silaturrahim sesama ahli pasukan dan masyarakat daerah ini.
  • Melahirkan generasi muda yang mampu melaksanakan program yang bermanfaat kepada komuniti.